PETALING JAYA – Sebatang pokok tualang yang berada di laluan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan yang tular di media sosial termasuk dikaitkan dengan cerita mistik sudah ditebang sebentar tadi.
Kerja-kerja penebangan pokok itu turut dikongsikan menerusi siaran langsung (live) di TikTok Zorro dan mendapat tontonan tinggi daripada pengguna terutama dari Kelantan.
Menerusi video tersebut, kelihatan jentera dan pekerja melakukan kerja-kerja penebangan pokok sehingga tumbang.
Menerusi ruangan komen, kerja-kerja penebangan pokok tualang tersebut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
“Tak dok doh la (tiada lagi) mercu tanda lepah (lepas) ini,” kata seorang pengguna TikTok dalam dialek Kelantan.
“Bismillah, mudah-mudahan berjalan lancar,” komen seorang lagi individu.
“Alhamdulillah, pokok tular tak dok doh,” kata pengguna lain.
Terdahulu, pokok tualang yang berada di laluan Gua Musang-Kuala Krai tular dalam media sosial, malah Kosmo! Online pernah melaporkan perkara tersebut pada 8 Ogos 2024.
Menerusi laporan itu, pokok tualang tersebut dikatakan ‘kebal’ kerana mempunyai penunggu.
Laporan itu menyebut, pokok dipercayai berusia lebih 150 tahun berada berhampiran Kampung Sungai Bayu itu masih kekal di tempat asal walaupun pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Utama sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














