fbpx
CHELSEA terpaksa akur gagal mara ke pentas final selepas tewas dalam kedua-dua aksi separuh akhir menentang Arsenal. - AFP

EFL: Chelsea anggap hilang tuah jaringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Chelsea kempunan untuk melangkah ke final pertama musim ini apabila tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) selepas tewas 2-4 secara agregat kepada Arsenal di separuh akhir.

Pada aksi timbal balik di Stadium Emirates awal pagi semalam, peluang The Blues tertutup terus apabila bekas pemain mereka, Kai Havertz meledak gol tunggal perlawanan bagi membolehkan Arsenal menang 1-0.

Pengurus Chelsea, Liam Rosenior menegaskan, beliau tetap bangga dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya pada perlawanan itu biarpun tidak banyak menguji penjaga gol pasukan lawan, Kepa Arrizabalaga.

“Kami berjaya mendominasi dalam kawasan-kawasan yang tertentu pada separuh masa kedua, tetapi detik itu (menjaringkan gol) tidak hadir. Apabila bermain seperti ini, memang ada risiko untuk melepaskan gol di saat akhir.

“Memang sangat menyakitkan apabila tewas kerana kami mahu meneruskan kemaraan ke pentas final. Apa yang penting adalah kami perlu terus memperbaiki pasukan menjelang perlawanan akan datang,” katanya.

Ini merupakan kali pertama Chelsea tewas dalam kedua-dua aksi separuh akhir EFL ketika mereka mara ke peringkat tersebut sejak kali terakhir menghadapi situasi sama pada kempen 1990/91 berdepan Sheffield Wednesday.

“Saya tidak mahu berikan sebarang alasan biarpun pemain kami berdepan masalah kesihatan pada pertemuan pertama. Tahniah kepada pemain kerana sudah bekerja keras dalam dua aksi separuh akhir ini,” ujar Rosenior. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI