TEKNOLOGI foto dan video bawah air menjadi tulang belakang dalam pemantauan ekosistem laut, kajian biodiversiti serta pemerhatian fenomena geologi bawah laut.

Gajet bawah air bantu mudahkan kajian marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENEROKAAN dan kajian bawah laut merupakan antara cabang penyelidikan yang paling mencabar dalam sains marin.

Persekitaran laut yang luas, gelap dan sukar diakses menjadikan pemerhatian secara langsung amat terhad.

Justeru, penggunaan gajet foto dan video bawah air muncul sebagai alat penting yang bukan sahaja membantu saintis mendokumentasikan dunia marin, malah membolehkan kajian dilakukan secara lebih sistematik, selamat dan berterusan.

Menurut profesor dan pengkaji dasar laut dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Lautan dan Bumi Amerika Syarikat, Duncan Seraphin, teknologi itu kini menjadi tulang belakang dalam pemantauan ekosistem laut, kajian biodiversiti serta pemerhatian fenomena geologi bawah laut.

“Salah satu kegunaan utama fotografi bawah air dalam penyelidikan saintifik ialah untuk menilai perubahan fizikal dan biologi di dasar laut dari semasa ke semasa.

“Melalui teknik seperti photoquadrat, saintis dapat mengambil gambar kawasan habitat tertentu dalam saiz petak yang standard,” katanya dalam satu penulisan artikel di portal Exploring Our Fluid Earth baru-baru ini.

Tambahnya, kaedah ini membolehkan perbandingan dibuat bagi menilai kelimpahan terumbu karang, alga atau organisma bentik di beberapa lokasi terumbu dalam tempoh yang panjang.

Dengan hanya merujuk kepada imej yang dirakam, penyelidik dapat mengenal pasti trend kemerosotan atau pemulihan ekosistem tanpa perlu mengganggu persekitaran semula jadi.

Selain itu, gajet foto bawah air memainkan peranan penting dalam proses mengenal pasti spesies marin. Banyak organisma laut, khususnya yang bergerak perlahan seperti nudibranch atau yang bersifat pegun seperti teritip, boleh dikenal pasti melalui ciri visual seperti bentuk badan, corak dan warna.

Kongsinya lagi, fotografi membolehkan spesies ini dikenal pasti tanpa perlu dikeluarkan dari habitat asal, sekali gus mengurangkan tekanan dan risiko kecederaan terhadap hidupan tersebut. Pendekatan tidak invasif ini amat selari dengan prinsip pemuliharaan marin moden.

“Rakaman video bawah air pula memberikan kelebihan dari sudut pemerhatian tingkah laku spesies yang bergerak aktif.

“Melalui video, saintis dapat mengkaji interaksi sosial, corak pembiakan dan tingkah laku pemakanan hidupan marin seperti ikan rama-rama, anjing laut dan spesies lain,” ujarnya.

Katanya lagi, rakaman bergerak juga membolehkan pemerhatian dilakukan dalam tempoh yang lebih lama tanpa kehadiran manusia, sekali gus menghasilkan data yang lebih semula jadi dan tepat.

Malah, teknologi video bawah air turut digunakan untuk mengkaji fenomena ekstrem seperti lubang hidroterma dan letusan gunung berapi dasar laut yang mustahil diperhatikan secara langsung oleh penyelidik.

TEKNIK seperti photoquadrat, saintis dapat mengambil gambar kawasan habitat tertentu dalam saiz petak yang standard.

Walau bagaimanapun, penggunaan gajet foto dan video bawah air tidak terlepas daripada cabaran teknikal.

Jelasnya, antara cabaran utama ialah keperluan untuk melindungi kamera daripada tekanan dan kemasukan air, justeru perumah kalis air yang kukuh menjadi keperluan asas.

Selain itu, sifat air laut yang menyerap cahaya menyebabkan warna merah hilang dengan cepat apabila kedalaman meningkat, manakala keamatan cahaya turut berkurangan.

Keadaan ini boleh menjejaskan ketepatan warna pada imej yang penting untuk mengenal pasti spesies.

“Bagi mengatasi masalah ini, saintis sering menggunakan sumber cahaya tambahan seperti lampu atau strob bawah air.

“Pencahayaan buatan membantu mengembalikan warna yang hilang dan menonjolkan perincian penting pada organisma marin. Namun, kehadiran zarah seperti sedimen dan plankton dalam air turut menimbulkan masalah backscatter iaitu pantulan cahaya yang muncul sebagai bintik-bintik cerah dalam imej,” kongsinya.

Untuk mengurangkan kesan ini, jurugambar dan penyelidik menggunakan strob yang diletakkan di sisi kamera supaya pantulan cahaya tidak terus kembali ke lensa.

Ujarnya lagi, gajet foto dan video bawah air merupakan alat yang amat penting dalam kajian bawah laut moden, malah teknologi ini bukan sahaja memperluas keupayaan saintis untuk meneroka dunia marin, malah menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang ekosistem laut dan cabaran yang dihadapinya.

“Dalam era perubahan iklim dan tekanan terhadap sumber marin, dokumentasi visual bawah air menjadi bukti saintifik yang bernilai untuk pemuliharaan dan pengurusan laut secara lestari.

“Jika teknologi ini terus diperkasa, masa depan penyelidikan bawah laut pasti akan menjadi lebih terang dan bermakna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN