PETALING JAYA – Pelajar Universiti Malaya (UM), Nawal Shahirah Mohd Jamil, yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu, telah ditemui dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, hasil semakan pihak polis bersama Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati orang hilang (OH) disahkan sedang menerima rawatan psikiatri di hospital berkenaan.
“OH hadir sendiri ke HKL untuk mendapatkan rawatan psikiatri dan telah dimasukkan ke hospital pada 28 Januari lalu.
“Keadaan OH dilaporkan baik dan kini ditempatkan di wad bagi tujuan pemerhatian kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati OH dipercayai mengalami tekanan perasaan susulan kematian ahli keluarganya, iaitu ibunya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak kali terakhir dilihat di sebuah kondominium di Seksyen 14, di sini, pada Selasa lalu.
Pelajar terbabit merupakan pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UM. – KOSMO! ONLINE














