fbpx
DARI semasa ke semasa, kita dikejutkan dengan tragedi hampir sama bayi atau kanak-kanak maut tertinggal dalam kenderaan. - GAMBAR HIASAN

Peduli anak, tragedi tidak patut berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KES bayi yang ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta selama hampir sembilan jam baru-baru ini sekali lagi merentap emosi masyarakat.

Walaupun kes sebegini jarang berlaku, setiap insiden yang terjadi seharusnya menjadi peringatan keras bahawa kecuaian kecil boleh membawa akibat yang tidak terbayangkan.

Isu ini bukan perkara baharu. Dari semasa ke semasa, kita dikejutkan dengan tragedi hampir sama yang mana bayi atau kanak-kanak tertinggal dalam kenderaan, sama ada ketika ibu bapa tergesa-gesa ke tempat kerja, rutin harian berubah atau fikiran terganggu oleh tekanan hidup.

Jarang berlaku, tetapi hakikatnya ia tetap berlaku. Di sinilah persoalan ‘peduli anak’ perlu dibicarakan dengan lebih jujur dan berani.

Peduli anak bukan sekadar menyediakan makan minum, pakaian atau pendidikan terbaik. Ia bermula dengan kesedaran penuh kanak-kanak khususnya bayi, bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk keselamatan dan kelangsungan hidup mereka.

Dalam dunia yang semakin laju dan penuh tekanan, kealpaan boleh berlaku tanpa disedari, namun akibatnya kekal selama-lamanya.

Mengulas perkara itu, Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani menjelaskan, tekanan mental berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap fungsi otak seseorang.

Menurut beliau, tekanan kronik, keletihan emosi dan beban kognitif yang tinggi boleh menjejaskan fungsi perhatian serta memori kerja, menyebabkan seseorang bertindak secara automatik tanpa kesedaran penuh.

“Dalam keadaan ini, otak cenderung beroperasi secara ‘auto-pilot’ mengikut rutin.

“Sebagai contoh, ibu bapa yang kebiasaannya menghantar anak ke pengasuh mungkin secara tidak sedar terus memandu ke tempat kerja apabila rutin terganggu, walaupun anak masih berada di dalam kereta. Ini bukan kerana kurang kasih sayang, tetapi kegagalan otak memproses perubahan rutin akibat keletihan mental,” jelasnya.

Pandangan itu mengukuhkan hakikat tragedi seperti ini bukan soal cuai atau tidak. Ia mencerminkan bagaimana tekanan hidup, beban kerja dan rutin terlalu automatik boleh menumpulkan kepekaan manusia terhadap perkara paling asas memastikan anak selamat.

Lebih membimbangkan, masih ada dalam kalangan masyarakat yang berasakan tragedi sebegini ‘tidak akan berlaku’ kepada mereka. Hakikatnya, rasa terlalu yakin itulah sering membuka ruang kepada kecuaian.

Sebab itu, langkah pencegahan perlu menjadi budaya bukan pilihan. Antaranya memeriksa tempat duduk belakang sebelum meninggalkan kenderaan, meletakkan barangan penting di tempat duduk belakang sebagai peringatan atau mewujudkan amalan saling mengingatkan antara pasangan.

Namun, setiap kali tragedi berlaku, kecaman sering mendahului empati. Keluarga mangsa dihukum seolah-olah kesedihan yang ditanggung belum cukup berat.

Masyarakat perlu lebih bijak membezakan antara menuntut keadilan dan menambah luka. Pengajaran dan kesedaran jauh lebih penting daripada cercaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN