fbpx
Gambar hiasan

Cadangan had kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu dinilai secara praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Cadangan mengehadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu diteliti secara menyeluruh dan praktikal sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun pelbagai cadangan boleh dikemukakan, pelaksanaannya harus dilihat daripada sudut kebolehlaksanaan serta impak sebenar di lapangan.

“Memang ada pelbagai cadangan termasuk mengehadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya, tetapi kita kena melihat sama ada cadangan itu praktikal atau tidak untuk dilaksanakan.
“Ada juga pandangan daripada operator lebuh raya yang mencadangkan had pergerakan motosikal mengikut waktu tertentu, namun perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Perkara ini berada di bawah bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), operator lebuh raya serta Kementerian Kerja Raya. Jadi perkara itu perlu dibincangkan daripada segi praktikal untuk melihat keberkesanan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Anthony berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung cadangan supaya pergerakan motosikal di lebuh raya dihadkan mengikut masa atau kapasiti tertentu bagi mengurangkan konflik dengan kenderaan lain.

Beliau menegaskan, setiap dasar atau langkah baharu perlu mengambil kira kebolehlaksanaan serta impaknya kepada rakyat secara keseluruhan, bukan hanya berdasarkan cadangan semata-mata.

“Kita faham ada cadangan demi keselamatan, antaranya untuk mengelakkan lebuh raya dijadikan medan lumba haram. Tetapi kita juga perlu melihat kesannya kepada pengguna lain yang bergantung kepada lebuh raya.

“Apa-apa cadangan mesti dinilai sama ada ia boleh dilaksanakan dan sama ada ia benar-benar memberikan kesan positif kepada keselamatan jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN