KUALA LUMPUR – Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth, Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Julai depan menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti dan pameran yang melibatkan gerakan koperasi dari seluruh negara.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) berkata, sambutan tahun ini dianjurkan dalam skala lebih besar dengan penyertaan 150 reruai pameran dan jualan melibatkan pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi, pelancongan, makanan dan keusahawanan.
“HKN’26 bukan sekadar pameran koperasi. Kami membawakan sebuah festival rakyat yang menghimpunkan makanan tradisional, pakej pelancongan menarik, aktiviti keluarga, peluang perniagaan, peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan pengiktirafan kepada koperasi terbaik negara.
“Dengan 150 reruai yang menghimpunkan pelbagai sektor, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat, perkhidmatan dan tawaran menarik dalam satu lokasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pra Peluncuran HKN’26 di Dewan Perdana, Bangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Antara tarikan utama program tersebut ialah Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas serta produk koperasi pada harga lebih rendah dengan penjimatan sehingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
Selain itu, HKN’26 juga menyediakan platform kepada pelajar dan pencari kerja menerusi reruai Jom Masuk Universiti, TVET dan Kecerdasan Buatan (AI) serta MYFutureJobs yang menawarkan maklumat berkaitan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.
Dalam pada itu, dua anugerah khas baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti bagi mengiktiraf koperasi yang menunjukkan potensi besar untuk berkembang dan menjadi peneraju dalam sektor masing-masing.
HKN’26 dijadual dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 4 Julai depan dan dijangka menghimpunkan lebih 100 aktiviti sepanjang tiga hari penganjurannya. – KOSMO! ONLINE














