KUALA LUMPUR – Golongan belia termasuk pelajar institusi pengajian tinggi digalakkan untuk menyertai serta mendekati gerakan koperasi yang dilihat semakin berkembang sebagai antara pemacu ekonomi rakyat negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menarik penyertaan golongan muda sempena Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Julai depan.
Menurutnya, SKM bukan sahaja menjemput pelajar, malah turut menggerakkan penyertaan belia yang berada di luar institusi pendidikan untuk bersama-sama menyertai program berkenaan.
“Memang kita ada membuat jemputan kepada pelajar-pelajar, namun pada masa sama golongan belia yang bukan pelajar juga turut dijemput untuk hadir dan terlibat dalam gerakan koperasi ini.
“Kita mahu lebih ramai belia melihat sendiri bagaimana gerakan koperasi mampu membuka peluang dalam bidang keusahawanan, ekonomi dan pembangunan komuniti,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pra Peluncuran HKN’26 di Dewan Perdana, Bangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Tambahnya, SKM turut mengadakan perbincangan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dalam program tersebut.
“Kita telah berbincang dengan Presiden MBM, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid dan mereka telah memberi jaminan bahawa pihak mereka akan menggerakkan belia untuk hadir ke lokasi program.
“Sebelum ini juga kita telah mengadakan perbincangan bersama Majlis Belia negeri-negeri dan mereka menyambut baik usaha untuk membawa lebih ramai belia bersama-sama dalam gerakan koperasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Norihan menggalakkan orang ramai dari seluruh negara untuk hadir ke HKN’26 bagi melihat sendiri perkembangan gerakan koperasi yang kini semakin rancak menyumbang kepada pembangunan masyarakat selaras aspirasi Malaysia Madani.
HKN’26 menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dengan penyertaan 150 reruai pameran dan jualan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk keusahawanan, pendidikan, teknologi, pelancongan dan peluang pekerjaan. – KOSMO! ONLINE














