KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili dua tokoh akademik dalam kes saman Rita Rudaini mengesahkan writ saman yang dikemukakan terhadap pelakon itu gagal diserahkan.
Dua tokoh akedemik itu ialah Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd. Roslan Mohd. Nor, dan timbalannya, Saidah Haris @ Harith.
Saman berkenaan adalah berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang dikeluarkan Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, antaranya berhubung isu ‘prof kangkung’ membabitkan pemimpin MUAFAKAT itu.
Peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tokoh akademik itu selaku plaintif ketika dihubungi media, berkata, dua dokumen saman oleh anak guamnya tidak dapat diserahkan kepada Rita selaku defendan pada alamat terakhir yang diketahui.
Menurut Adnan, saman itu berkaitan dakwaan Rita mengeluarkan kenyataan yang dipertikaikan termasuk melabelkan kedua-dua plaintif terbabit sebagai bongkak, narsisis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui pertubuhan MUAFAKAT.
“Plaintif kemudian membuat serahan dokumen mahkamah melalui aplikasi WhatsApp kepada defendan (Rita), tetapi tiada kehadiran dimasukkan oleh mahkamah. Mahkamah seterusnya membenarkan permohonan penyampaian ganti bagi membolehkan saman berkenaan diserahkan melalui kaedah alternatif.
“Mahkamah memberi tempoh selama satu bulan kepada plaintif untuk melaksanakan penyampaian ganti berkenaan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 26 Februari 2026,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tidak lagi berdiam diri, dua tokoh akademik nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita selepas dakwaan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.
Kedua-dua tokok akademik itu memfailkan saman berkenaan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.
Adnan berkata saman itu difailkan selepas mendapati Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain. – KOSMO! ONLINE














