fbpx
ATLET badminton negara turut dibuli ‘samseng siber’.

‘Samseng sukan’ jangan melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Atlet sukan badminton bukan ‘karung guni’ untuk melempiaskan kemarahan.

Itu peringatan keras buat segelintir pihak yang melampaui batas dengan melemparkan ugutan jenayah terhadap pemain negara, hanya kerana keputusan perlawanan tidak memihak kepada mereka.

Insiden terbaharu yang menimpa pemain beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin membuktikan budaya ‘samseng siber’ kini membimbangkan.

Yew Sin bukan sahaja menerima kecaman, malah diugut dengan mesej berunsur ancaman keselamatan terhadap dirinya dan gandingannya, Teo Ee Yi susulan kekalahan di pusingan awal Indonesia Masters 2026, Selasa lalu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandang serius perkembangan tidak sihat ini dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan, keselamatan pemain sama ada bernaung di bawah badan induk mahupun profesional adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Sebarang bentuk ugutan atau tingkah laku kesat, khususnya yang membabitkan keganasan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Badminton adalah sukan dan atlet wajar dihormati. Perbezaan pendapat terhadap prestasi tidak seharusnya meningkat menjadi serangan peribadi atau ugutan,” katanya.

Dalam pada itu, timbul persoalan sama ada ancaman berbau jenayah ini didorong oleh kekecewaan ‘kaki judi’ yang kerugian wang pertaruhan.

Yew Sin sendiri tidak menolak kemungkinan elemen perjudian menjadi punca individu terbabit gagal mengawal emosi hingga sanggup mengeluarkan ugutan mencederakan fizikal.

“Jika tengok sukan lain, kalau tiada pertaruhan pun peminat boleh marah, tapi biasanya marah sendiri sahaja. Namun, kalau melibatkan judi, bila kalah duit, perasaan itu tidak sama.

“Emosi boleh jadi tidak terkawal, naik kepala dan mula marah pemain. Saya tidak kisah terima kritikan prestasi, itu perkara biasa. Tapi kali ini sudah melibatkan ugutan untuk mencederakan, itu sudah melampau,” kata Yew Sin.

Barah ‘samseng siber’ ini bukan kali pertama terjadi. Malah gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Jimmy Wong-Lai Pei Jing dan Goh V Shem pernah menjadi mangsa.

Terbaharu, pemain beregu campuran, Toh Ee Wei turut meluahkan rasa terkilan apabila kritikan warganet melarat hingga menyerang ibu bapanya dengan kata-kata kesat.

Susulan pendedahan berani Yew Sin, polis tampil menyarankan agar pemain itu segera membuat laporan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah ugutan, biarpun ia berlaku di alam maya.

“Ini adalah tanggungjawab pihak penguat kuasa. Kita memang tiada toleransi terhadap sebarang jenayah yang dilaporkan dan akan memberi respons. Jika wujud elemen jenayah, sudah tentu kita akan tangani sebaik mungkin.

“Pada saya, jika ada isu-isu sebegini, perlu buat laporan sewajarnya kepada polis. Bukan atlet sahaja, semua rakyat. Jika ada jenayah ugutan, rujuk kepada kami,” katanya.

Bagi penulis, sudah tiba masanya peminat sukan tanah air menjadi penyokong yang matang. Kritikan membina adalah dialu-alukan, namun ugutan jenayah adalah satu garisan merah yang tidak seharusnya dilangkah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN