KARAKTER ahli sihir menyeramkan Aunt Gladys dalam filem horror Weapons melayakkan aktres berpengalaman, Amy Madigan menerima pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi ke-98 yang bakal berlangsung Mac depan.
Amy bersaing dengan nama-nama besar lain dalam kategori terbabit termasuklah Teyana Taylor (One Battle After Another), Wunmi Mosaku (Sinners), Elle Fanning dan Inga Ibsdotter Lilleaas masing-masing menerusi filem Sentimental Value.
Anugerah Akademi ke-98 menyaksikan satu lagi sejarah tercipta apabila naskah horror Sinners memecahkan rekod filem Titanic apabila menerima 16 pencalonan. Untuk rekod, Titanic merupakan filem dengan pencalonan terbanyak dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi dengan 14 pencalonan.
Sinners dicalonkan untuk anugerah utama termasuklah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Michael B. Jordan), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Delroy Lindo), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Wunmi Mosaku) dan beberapa pencalonan kategori teknikal lain.
Edisi kali ini turut menyaksikan kejutan apabila filem Wicked: For Good arahan Jon. M Chu tidak menerima satu pun pencalonan. Ariana Grande yang disebut-sebut sebagai pencabar utama kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik terpaksa gigit jari apabila gagal menambat hati pihak Akademi.
Sementara itu, Filem arahan pengarah Tunisia, Kouther Ben Hania, The Voice of Hind Rajab mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai antara lima judul yang bersaing dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.
Anugerah Akademi ke-98 bakal berlangsung pada Mac 2026 bertempat di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Senarai pencalonan penuh pencalonan, layari laman rasmi: https://www.oscars.org/oscars/ceremonies/2026 – KOSMO! ONLINE














