fbpx
Fadhlina. IHSAN JABATAN PENERANGAN

10,514 kelas prasekolah KPM beroperasi di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan terdapat sebanyak 10,514 kelas prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) sedang beroperasi di 6,469 buah sekolah atau institusi pendidikan di seluruh negara.

Beliau berkata, pada tahun ini terdapat 214,122 orang murid prasekolah sedang mengikuti kelas prasekolah di institusi bawah KPM.

Katanya, pada tahun lalu KPM telah melaksanakan peluasan sebanyak 150 buah kelas prasekolah dan pada tahun 2026 pula, peluasan sebanyak 350 buah kelas prasekolah yang melibatkan pelbagai jenis institusi KPM akan dilaksanakan.

“KPM telah melaksanakan peluasan prasekolah setiap tahun terutamanya di lokasi yang mempunyai permintaan yang tinggi.

“Peluasan kelas prasekolah bukan sahaja dilaksanakan di sekolah rendah, malah turut diperluaskan ke institusi pendidikan lain seperti sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai sama ada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti adalah mencukupi khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

Fadhlina berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak khususnya golongan berpendapatan rendah mengikuti pendidikan prasekolah KPM.

“KPM juga meneruskan usaha untuk membina lebih banyak kelas prasekolah baharu di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan sedia ada.

“Terdapat sebanyak 11 projek prasekolah baharu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1),” katanya.

Katanya, setakat hari ini terdapat 87 projek sambungan dengan pecahan statusnya 48 fasa prabina, 22 fasa bina dan 17 siap bagi projek-projek prasekolah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM338.41 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI