KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menepati ramalan sebagai pilihan utama apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istora Senayan sebentar tadi, gandingan No.2 dunia itu tewas 22-20, 19-21, 16-21 kepada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Walaupun dianggap sebagai pilihan, namun Aaron-Wooi Yik tidak berdepan laluan mudah apabila diberikan tentangan sengit wakil Eropah itu, namun masih mampu memenangi set pertama.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengekalkan momentum tersebut dalam dua set berikutnya apabila tewas 19-21, 16-21, sekali gus kempunan untuk meneruskan kemaraan.
Sebagai rekod, ini merupakan kejohanan ketiga berturut-turut buat bekas juara dunia itu selepas mengharungi dua kejohanan sebelum ini pada Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Turut tersingkir di pusingan pertama adalah beregu wanita, Carmen Ting-Ong Xin Yee yang tewas 19-21, 18-21 kepada pasangan Jepun, Kaho Osawa-Mai Tanabe.
Sementara itu, gandingan profesional, Choi Sol Gyu-Goh V Shem meneruskan kemaraan selepas membenam cabaran gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Lucas Ekarat Wedler 24-26, 21-19, 21-13. – KOSMO! ONLINE














