KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 16 notis kompaun terhadap lima kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 1/2026, Jumaat lalu.
Operasi yang dijalankan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu berlangsung dari pukul 10 malam hingga 3 pagi di beberapa lokasi sekitar ibu negara termasuk Jalan Kuchai Maju, Jalan Klang Lama dan Jalan Bangsar.
DBKL dalam kenyataan berkata, antara kesalahan dikesan ialah tiada lampu amaran blinker, tiada pengawal lalu lintas, menutup laluan tanpa kebenaran, lori tanpa permit serta menyebabkan laluan awam kotor.
“Sebanyak 16 notis kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya, hari ini.
Jelas DBKL, CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir terhadap kontraktor terlibat bagi mendapatkan maklumat berkaitan kerja pembinaan tanpa kelulusan.
Kata DBKL, pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE













