fbpx
Fatin Nursyafikah maut akibat dirempuh van Thailand di persimpangan lampu isyarat Napoh, dekat Jitra malam tadi.

[VIDEO] Wanita maut dirempuh van Siam langgar lampu merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah van Thailand yang melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, beralamat di Kampung Bukit Beruas dalam mukim Binjal, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika van Toyota Hiace bernombor pendaftaran Thailand dipandu lelaki berusia 60 tahun dari negara jiran dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Satun, Thailand.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu van tidak berhenti semasa lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas yang datang dari simpang sebelah kiri.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra bagi tujuan bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van yang tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

“Pemandu van terbabit yang tidak mengalami kecederaan telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saringan awal urin ke atas lelaki itu didapati negatif dadah.

“Dia yang beralamat di Satun dan bekerja sebagai pemandu mempunyai lesen pass border yang tamat pada 5 Julai 2026. Van berkenaan adalah milik adiknya,” ujarnya.

Sementara itu, terdapat beberapa video tular di media sosial termasuk rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan menunjukkan sebuah van dipandu laju dan melanggar lampu merah sebelum merempuh motosikal yang baru bergerak selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.

Kejadian mengundang kemarahan daripada orang ramai yang mendakwa sering melihat kenderaan Thailand dan kenderaan berat dipandu laju di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN