KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki asing mengelak daripada dicekup pihak berkuasa berakhir dengan malang apabila saluran paip yang dipijak patah menyebabkan kediamannya banjir.
Insiden itu berlaku ketika pelaksanaan Op Kutip oleh Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pangsapuri di Chow Kit, di sini awal pagi tadi.
Operasi itu berdepan cabaran apabila pemeriksaan terpaksa dilakukan sehingga tingkat 19, selain pelbagai taktik warga asing yang cuba bersembunyi termasuk di balik timbunan barangan lusuh dan bawah singki.
Seorang lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an ditemui menyorok di celah tangki air, namun tindakannya itu menyebabkan paip pecah memenuhi ruang rumah.
“Pasport saya sudah tamat tempoh. Saya menyorok sebab takut,” katanya.
Difahamkan, anggota penguat kuasa terpaksa membuka pintu rumah selepas panggilan tidak disahut, sebelum menemui beberapa individu lain yang turut bersembunyi di dalam rumah sama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam itu, pihaknya menahan seramai 79 individu termasuk 23 wanita berusia 17 hingga 55 tahun.
Tangkapan melibatkan 39 warga Indonesia, Bangladesh (25), Nepal (10), India (2), Pakistan (2) dan Myanmar (1) kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen. Kebanyakan mereka yang tinggal bersesak di rumah tersebt bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh tapak pembinaan.
“Keadaan persekitaran rumah tidak memuaskan, berbau dan dipenuhi sampah sarap sehingga berisiko menimbulkan masalah kesihatan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, kawasan itu dikenal pasti antara lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara. Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap PATI dan majikan bagi menjaga kedaulatan negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














