KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang maut dikenal pasti Soo Yu Juan berusia 24 tahun.
“Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 10 orang, membabitkan pelajar, juruteknik, kontraktor serta pekerja kantin.
“Daripada jumlah itu, seorang disahkan meninggal dunia, dua cedera parah manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, satu kejadian letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.
Fadil berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Menurut beliau, mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor serta warga asing yang bekerja sebagai penjaga kafeteria di universiti berkenaan. – KOSMO! ONLINE














