NILAI – Pelumba berbasikal wanita negara, Nur Alyssa Mohd. Farid mempamerkan kayuhan luar biasa apabila menjelmakan pingat emas dalam acara keirin di Kejohanan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 2 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.
Lebih manis apabila pelumba berusia 20 tahun itu turut meraih pingat emas dalam acara keirin Piala Presiden 1 yang berlangsung pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Johor itu mengakui berbangga dapat menambah kilaun pingat emas Piala Presiden 2 biarpun menahan kesakitan akibat kecederaan lutut kiri yang dialaminya semasa sesi memanaskan badan, sehari sebelum perlumbaan.
Dalam aksi final Kelas 2 itu, Alyssa terpaksa bekerja keras apabila mendahului perlumbaan seawal dua pusingan terakhir, sebelum berjaya menahan asakan pelumba lain untuk melintasi garisan penamat selaku juara.
“Perlumbaan akhir tadi agak penat sebab saya terpaksa keluar pecut lebih awal. Saya banyak menggunakan tenaga untuk mendapatkan kelajuan bagi mengawal perlumbaan, jadi saya perlu bertahan sehingga ke akhir. Ia agak mencabar tetapi saya gembira berjaya melakukannya,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Alyssa mengakui dia sebenarnya tidak meletakkan sasaran tinggi dalam pada perlumbaan itu kerana bergelut dengan kesakitan.
“Saya sebenarnya sakit lutut. Semalam semasa sesi pemanas badan, pedal basikal saya tercabut dan kaki terhentak menyebabkan lutut saya bengkak.
“Sebelum perlumbaan, saya agak tidak yakin tetapi saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Alhamdulillah, saya berjaya mencipta kemenangan hari ini (semalam),” jelasnya.
Kejayaan memenangi dua emas keirin, selain satu perak dalam acara pecut individu dan gangsa pecut individu menjadi tonik terbaik untuk bersaing di kejohanan dunia tahun ini. – SUKAN KOSMO!














