KUALA TERENGGANU – Gara-gara mencuri sabun, syampu dan singlet di sebuah pasar raya besar di sini pada Khamis lalu, seorang bapa dua anak dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak menjatuhkan hukuman itu berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Muhamad Azrul Haqim Azman, 29.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sabun mandi Carrie Junior dan Lifebuoy, syampu jenama Selsun dan singlet bernilai keseluruhan RM113.70.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pasar raya besar di bandar raya ini pada pukul 9.30 malam, 1 Januari lalu.
Muhamad Azrul Haqim didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Peguam, Ummi Sharmimi Harun daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dalam rayuannya memberitahu tertuduh bertindak mencuri berikutan desakan hidup selepas diberhentikan kerja.
Beliau berkata, Muhamad Azrul Haqim berhasrat menggunakan barangan terbabit untuk kegunaan harian keluarganya bukannya untuk dijual semula. – KOSMO! ONLINE














