fbpx
Gambar Hiasan

Isteri, kekasih berpakat bunuh suami mahu bolot insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki melalui detik paling hitam dalam hidupnya apabila hampir maut dibunuh oleh isteri sendiri yang dipercayai berpakat dengan kekasih gelapnya dalam satu komplot kejam bermotifkan wang insurans.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam pada 22 Disember tahun lalu, mangsa berusia 47 tahun diserang ketika sedang tidur lena di rumahnya di Taman Ehsan Jaya, Seri Alam, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa cuba dibunuh dengan cara ditekap muka menggunakan bantal sehingga mengalami kesukaran bernafas sebelum terjaga dan bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan oleh teman lelaki kepada isteri mangsa sendiri yang masuk ke dalam rumah dengan keizinan wanita berkenaan.

“Isteri mangsa bertindak memegang kaki suaminya bagi menghalang mangsa melawan manakala kekasihnya menekan bantal ke muka mangsa sehingga hampir pengsan akibat sesak nafas.

“Mangsa bagaimanapun berjaya meronta dan melepaskan diri sebelum suspek lelaki melarikan diri dalam keadaan kelam-kabut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, hasil siasatan lanjut turut membongkar motif sebenar kejadian apabila polis mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan jumlah wang simpanan serta syarikat insurans yang dicarumkan mangsa kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam berjaya menahan isteri mangsa bersama kekasihnya masing-masing berusia 45 dan 38 tahun sehari selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN