ALOR SETAR – Seorang wanita yang dipercayai bertindak agresif termasuk menunjukkan isyarat lucah dan meludah ke arah anggota polis ditahan reman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Setar, Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan ke atas wanita iti dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 298KK atas kesalahan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama dan Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan kehormatan melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis menahan seorang wanita dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis dan mencetuskan kekecohan di Mergong kelmarin.
Dalam kejadian pukul 1.11 tengah hari itu, suspek menumbuk seorang pekerja di lokasi sebelum anggota polis tiba di lokasi bagi mengawal keadaan. Sebaik tiba, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
Polis cuba menenangkan keadaan dan memujuk wanita itu supaya bertenang serta memberikan kerjasama, namun dia bertindak agresif dan melakukan provokasi dengan meninggikan suara, memaki hamun dan membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah kepada polis.
Suspek turut membaling kad pengenalan ke arah anggota polis selain meludah sebanyak dua kali termasuk ke arah beberapa individu yang berada di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














