SEBERANG PERAI – Seorang kerani operasi pelabuhan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan melakukan provokasi dengan mengacukan kayu hoki terhadap seorang pemandu dalam satu insiden pada 25 Disember lalu.
Mohd Zakhri Ahmad, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit. Jika gagal membayar denda, tertuduh berdepan hukuman penjara selama enam bulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menimbulkan provokasi terhadap Muhammad Furqan Mohd Fuad, 27, dengan cara mengacukan sebatang kayu hoki yang mendatangkan bangkitan marah yang boleh memecahkan keamanan awam.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sungai Derhaka, dalam daerah Seberang Perai Tengah pada pukul 2.24 petang 25 Disember lalu.
Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Percubaan Norfirdaus Azimi Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan memohon denda minimum, peguam memaklumkan tertuduh bekerja sebagai kerani operasi pelabuhan dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
“Tertuduh juga perlu menyara isteri dan enam anaknya malah berjanji telah insaf serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua pemandu direman empat hari selepas terbabit dalam perselisihan faham di jalan raya.
Salah seoang suspek turut memegang sebatang kayu hoki ketika kejadian.
Insiden terbabit tular apabila video yang dirakam isteri mangsa tular di media sosial.














