KUALA LUMPUR – Team Lee Zii Jia (Team LZJ) mengesahkan Yeoh Kay Bin tidak akan menyambung kontrak bersama pasukan itu selepas beliau dikatakan mahu beralih angin mencari cabaran baharu.
Menerusi keputusan tersebut, Kay Bin akhirnya menamatkan tugasnya sebagai jurulatih kepada bekas juara Asia dan All England itu selepas menggantikan Wong Tat Meng pada hujung Disember tahun lalu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Team LZJ merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan jurulatih berkenaan, lebih-lebih lagi mengharungi musim cukup mencabar di mana Zii Jia berdepan masalah kecederaan.
Sementara itu, Zii Jia turut mengakui, dia banyak belajar perkara baharu sepanjang berada di bawah bimbingan Kay Bin selain mengucapkan selamat maju jaya buat jurulatih berusia 45 tahun berkenaan.
“Tidak ada apa yang perlu diperkatakan melainkan rasa hormat kepada Kay Bin yang sentiasa ada bersama saya sepanjang tahun ini. Saya sudah belajar banyak perkara baharu bersama beliau.

“Saya rasa agak kecewa kerana tidak mendapat banyak peluang untuk menunjukkan apa yang kami lakukan ketika dalam latihan. Saya faham hasrat beliau mencari cabaran baharu, jadi harap beliau terus berjaya,” katanya.
Walaupun tidak akan menyambung kontrak bersama team LZJ tetapi Kay Bin sudah menyatakan persetujuan untuk membantu Zii Jia pada kejohanan Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena bermula 6 hingga 11 Januari nanti.
Pada masa sama, team LZJ menjelaskan, kekosongan ditinggalkan Kay Bin itu bakal diisi Liew Daren yang sudah pun bersetuju untuk kembali ke pangkuan pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE














