PETALING JAYA – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
Memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing.
“Ia sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bsgaimanpun Takiyuddin berkata, Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti itu dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilhan Raya Umum (PRU) ke -15.
Justeru katanya, pas.menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Pas juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk meneraju PN bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan PRU ke-16,” katanya.
Pada masa sama kata beliau, Pas juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat. – KOSMO! ONLINE














