Gambar hiasan

Kanak-kanak bukan untuk pancing ‘likes’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA hari lalu, tular satu video kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berpakaian wanita dengan berbaju dan bertudung serta melakonkan watak sebagai seorang isteri.

Dalam masa sama, seorang lagi kanak-kanak lelaki mungkin bersekolah rendah, melakonkan watak sebagai seorang suami dalam video berkenaan.

Konten tersebut dimuat naik di media sosial seorang daripada bapa kanak-kanak itu sehingga mengundang kritikan dan kecaman orang ramai, memandangkan ia tidak sesuai dengan usia mereka.

Ramai yang mengkritik dialog pada video tersebut didakwa mengandungi unsur ‘soft porn’ dan berikutan pelbagai teguran diterima, difahamkan video tersebut kini telah dipadamkan.

Sudah banyak kali kritikan dan teguran orang ramai terhadap mana-mana individu atau pempengaruh lelaki yang memuat naik konten atau tular selepas berpakaian wanita secara terang-terangan.

Namun kali ini ia melibatkan kanak-kanak yang belum boleh berfikir dengan baik, hanya mengikut arahan orang dewasa tanpa memahami maksudnya.

Sudah pasti kesannya kepada kanak-kanak tersebut dan jika bukan sekarang, boleh jadi apabila memasuki sekolah rendah. Video lakonannya menjadi ejekan rakan sebaya, seterusya risiko dibuli.

Selain konten tersebut, perkara lain turut dikaitkan ialah penggunaan kanak-kanak sebagai bahan konten untuk meraih populariti di ruang digital, tanpa disedari ia mendatangkan bahaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pernah memberi teguran bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan kandungan di laman media sosial.

Teguran tersebut bukan hanya kepada ibu bapa, bahkan masyarakat secara umum termasuk guru memandangkan semua pihak bertanggungjawab atas perkara tersebut.

Seharusnya prinsip melindungi kanak-kanak menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi atas alasan hiburan, meraih ‘likes’ atau mengikut algoritma media sosial.

Peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor berkata, tindakan memuat naik wajah anak-anak di media sosial secara berleluasa boleh mendatangkan bahaya, malah ia akan kekal di situ biarpun telah dipadamkan.

“Jejak digital ini akan kekal sampai bila-bila, tidak boleh dipadamkan. Jadi meletakkan muka anak secara berleluasa di media sosial adalah berbahaya.

“Jangan kerana ‘lapar’ jenama, popular dan viral, kita musnahkan hidup anak yang baru belajar untuk bernafas, yang lahir dalam dunia sosial media,” katanya.

Berhubung isu kanak-kanak lelaki berpakaian wanita, beliau berkata, masih ada pengguna media sosial seolah-olah membenarkan atau menyokong konten berkenaan.

“Adakah anda rasa comel apabila kanak-kanak lelaki dipakaikan pakaian dengan bertudung, tetapi seksi di bahagian bawah (kaki) untuk berlakon menjadi isteri, dengan seorang lagi adalah kanak-kanak berlakon sebagai suami.

“Pihak yang buat skrip tergamak dengan ada unsur ‘soft porn’, anda buat konten eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak ini.

“Anda sebenarnya mengajarkan mereka untuk berkomunikasi sebegitu, berbual dengan berunsurkan seksual,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN