PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan pengguna kereta Perodua Myvi bergambar di sebuah stesen minyak mengundang kritikan orang ramai.
Ia selepas salah seorang ahli kumpulan itu dilihat memanjat pam di stesen minyak tersebut bagi mendapatkan ‘view’ gambar yang lebih menarik.
Menerusi satu klip video yang tular di media sosial, tindakan lelaki terbabit bukan sahaja mengundang bahaya malah boleh merosakkan harta milik stesen minyak tersebut.
Berdasarkan klip video itu, seorang lelaki dilihat berada di atas pam stesen minyak tersebut sambil memegang telefon untuk merakam gambar rakan-rakan yang lain di bawahnya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam tindakan kumpulan tersebut dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“Semoga pihak Petron ambil tindakan pada budak tiga suku,”komen Cik Eka.
“Kalau aku yang keje kat pam minyak tu aku dah maki dah, kalau rosak nak ganti ke?,”soal Noh Sazney.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Zul Fikri.
“Harap owner (pemilik stesen minyak) buat report, tangkap sekali geng-geng dia,”tegasnya.-KOSMO! ONLINE














