KUALA LANGAT – Hasrat tiga lelaki ‘melepas lelah’ selepas mencuri tiga botol minyak enjin motosikal di sebuah stesen minyak tidak kesampaian apabila dua daripadanya dicekup polis ketika ‘bersantai’ di sebuah medan selera di sini semalam.
Kedua-dua suspek berusia 40 hingga 50-an itu ditahan pada jarak tiga kilometer dari lokasi berlakunya kecurian itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, penangkapan suspek tersebut susulan laporan diterima kira-kira pukul 4.01 petang daripada seorang wanita berusia 31 tahun merupakan pekerja stesen minyak di Kanchong.
Katanya, berdasarkan laporan pengadu memaklumkan menerima aduan daripada rakan pekerjanya mengesan seorang lelaki telah mengambil tiga botol minyak enjin motosikal satu liter tanpa membuat bayaran.
“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek lelaki memakai cermin mata, berpakaian baju lengan pendek hitam dan berseluar jeans panjang telah mengambil barangan dari rak jualan.
“Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna krim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kenderaan digunakan suspek dipercayai kenderaan curi.
Menurutnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan di sebuah medan selera berhampiran atas maklumat orang awam.
“Seorang lagi suspek masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE













