KAJANG – Seorang penghantar barang yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang tunai RM10,000 milik seorang wanita warga China disambung reman sehingga Selasa ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dilanjutkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan laporan berhubung kehilangan wang tunai yang didakwa berada dalam sebuah dompet milik mangsa.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.
Bagaimanapun, dompet tersebut kemudiannya diserahkan semula oleh seorang lelaki, namun timbul pertikaian apabila wanita berkenaan mendakwa wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalam dompet itu telah hilang.
Dalam video yang tular itu, lelaki terbabit menafikan mengambil wang berkenaan dan mendakwa hadir bagi memulangkan dompet yang ditemuinya.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes. – KOSMO! ONLINE














