SEREMBAN – Lelaki tempatan berusia 62 tahun yang diklasifikasikan polis sebagai suspek berbahaya dalam kes letupan di kawasan Desa Palma, Nilai, direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
Perintah reman terhadap suspek dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Nur Ain Ariffin selepas permohonan dibacakan di Zon Merah, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata permohonan reman ke atas suspek sehingga Sabtu depan, dilakukan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaaan.
Semalam, Kosmo! melaporkan suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis di kawasan Batang Benar dekat Nilai kira-kira pukul 4.15 petang, selepas dipercayai terbabit secara langsung dalam kejadian letupan pada 22 Disember lalu.
Menurutnya, suspek yang dipercayai memiliki kemahiran dan pengetahuan berkaitan pembuatan bahan letupan itu disifatkan berisiko tinggi serta berpotensi mengancam keselamatan orang awam.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek mengalami kecederaan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki, dipercayai berpunca daripada letupan tersebut,” katanya. – KOSMO!ONLINE














