fbpx
TAMAT sudah teka-teki apabila nama Aisha Retno diumumkan sebagai Puteri Gunung Ledang.

Sah Gusti Putri Retno Dumilah milik Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Aisha Retno dipilih sebagai salah seorang pemegang watak utama Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) 3026, Gusti Putri Retno Dumilah.

Pengendali akuan Instagram rasmi PGLM, @pglthemusical mengumumkan pemilihan penyanyi juga komposer itu untuk menggalas karakter ikonik tersebut dilakukan dengan penuh teliti.

“Untuk pementasan baharu PGLM ini, kami bukan sahaja mahu menghargai legasi Puteri Gunung Ledang (PGL), tetapi juga masa depannya.

“Buat pertama kali, dua puteri dan dua Bayan (pembantu) akan menghidupkan dunia. Ini suatu keputusan yang dibuat dengan penuh kasih sayang, teliti dan dengan harapan untuk memastikan kelangsungan watak ikonik ini buat generasi akan datang.

“Hari ini, kami perkenalkan seorang puteri kami. Satu suara yang penuh rasa. Suatu kehadiran lembut namun berjiwa kuat. Seorang artis yang sedia melangkah masuk ke dalam legenda yang sudah bertapak dalam hati penonton selama lebih dua dekad,” tulis kenyataan itu.

Hantaran berkenaan turut menyebut, nama seorang lagi pelakon yang bakal memikul tanggungjawab sebagai Gusti Putri Retno Dumilah bakal diumumkan pada pukul 6 petang ini.

Sebelum ini, Mimi Fly dan Nadia Aqilah dipilih memegang watak Bayan iaitu pembantu setia puteri, manakala Luqman Hafidz diamanahkan membawa watak Sultan Melaka dan Yusuf Hashim pula memegang peranan sebagai Gusti Adipati.

Terdahulu, PGLM 2026 mengumumkan kelainan apabila memperkenalkan dua puteri bagi watak PGL serta dua pemegang watak Bayan.

Pemilihan Aisha juga dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkenalkan generasi baharu ke pentas teater muzikal berskala besar, seiring usaha produksi menyuntik nafas segar kepada karya ikonik berkenaan.

Watak Puteri Gunung Ledang sebelum ini cukup sinonim dengan figura Puan Sri Tiara Jacquelina yang mencipta fenomena sejak pementasan pertama pada 2006 dan seterusnya mengukuhkan kedudukan naskhah tersebut sebagai antara karya teater paling berpengaruh dalam industri seni persembahan tempatan.

Sebelum ini, Aisha secara terbuka menyatakan minatnya untuk terlibat dalam PGL The Musical, malah menyifatkan peluang tersebut sebagai impian yang dipendam sejak kecil.

Pementasan semula PGL The Musical yang diterajui Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026

PGLM merupakan adaptasi filem epik tahun 2004 yang kemudian diangkat ke pentas teater dan mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menjadikannya antara naskhah paling gah dalam sejarah seni persembahan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN