fbpx
Keadaan mangsa selepas terjatuh longkang apabila penutup konkrit yang dilaluinya pecah secara tiba-tiba, semalam. -Foto IHSAN MEDIA SOSIAL

‘3 jam terperangkap, saya ingat itu hari terakhir saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang dilaporkan cedera sebelum inj selepas terjatuh longkang dalam kejadian di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, semalam, tampil menjelaskan keadaan sebenar berhubung insiden berkenaan.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Naim, kejadian itu bukan berlaku ketika dia cuba menyelamatkan seekor kucing seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya, dia hanya melalui kawasan tersebut untuk mengambil barang sebelum penutup konkrit longkang berkenaan tiba-tiba pecah menyebabkannya terjatuh.

“Ya, yang jatuh parit itu aku dan bukan sebab nak selamatkan kucing. Aku lalu nak ambil barang, kemudian konkrit penutup longkang itu pecah dan aku jatuh,” katanya.

Malah, Naim turut menafikan dakwaan bahawa longkang tersebut sedalam empat meter dan mendakwa jauh lebih dalam yang dianggarkan mencecah 12 meter.

Mengulas lanjut, katanya, dia terperangkap hampir tiga jam di dalam longkang berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Masa dekat dalam (longkang) itu memang saya ingat itu hari terakhir saya sebab tiada siapa dengar saya menjerit. Saya tersangkut lebih kurang tiga jam.

“Bomba dan doktor pun pelik aku boleh ‘survive’ (terselamat) selepas jatuh longkang dengan kedalaman tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naim memaklumkan dia mengalami kecederaan serius termasuk lutut terkoyak selain menceritakan keadaan di dalam longkang yang dipenuhi serangga termasuk terdapat bekas kulit ular.

Terdahulu, media melaporkan niat murni seorang lelaki mahu menyelamatkan seekor kucing berakhir tragedi apabila dia terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira empat meter di belakang rumahnya di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ke dalam longkang tersebut di kawasan semak di atas bukit belakang rumahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN