PUCHONG – Kerjasama dua negara melalui Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Malaysia (DPPUM) dan Perkumpulan Andalan Nahdliyin UMKM Indonesia DKI Jakarta bakal meluaskan lagi pasaran usahawan tempatan ke Indonesia.
Timbalan Presidennya, Ariff Fadli Abd Wahab berkata, inisiatif tersebut membuka laluan lebih tersusun kepada usahawan kedua-dua negara untuk menembusi pasaran ASEAN secara lebih agresif.
Katanya, kerjasama itu diperoleh selepas kedua-dua pihak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada kerjasama pemasaran dan pembinaan rangkaian perniagaan merentas sempadan.
“Ia bukan sekadar simbolik sebaliknya bertujuan memperkukuh kedudukan usahawan Malaysia dan Indonesia dalam rantaian perniagaan serantau yang semakin kompetitif,” katanya di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan kepimpinan tertinggi Bravo Biz Club dan Pengasas Braventure Club, Khairul Anuar @ Faizal manakala Perkumpulan Andalan Nahdliyin UMKM Indonesia DKI Jakarta pula diwakili Setiausahanya, Merda Nelly.
Sementara itu, Merda Nelly berkata, kerjasama berkenaan memberi nilai tambah kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (UMKM) Indonesia, khususnya dalam usaha menembusi pasaran luar negara.
“Ia peluang strategik untuk memperluaskan rangkaian perniagaan UMKM Indonesia serta memperkukuh aspek pemasaran dan penganjuran aktiviti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program berimpak tinggi yang dapat memberi pulangan langsung kepada komuniti usahawan di Indonesia.
“Diharapkan menerusi kerjasama dengan Bravo ini mampu memberi positif daripada aspek ekonomi rakyat sesuai dengan nilai-nilai Islam yang menjadi matlamat ukhuwah sesama umat,” ujar Nelly.














