PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN perlu terus kekal bersatu, tangkas dan berpandangan jauh dalam mendepani pelbagai cabaran dunia yang semakin kompleks serta tidak menentu.
Menurut beliau, rantau ASEAN kini berdepan pelbagai isu global termasuk krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan yang memerlukan tindakan bersama semua negara anggota.
“ASEAN dituntut untuk bergerak dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama demi mempertahankan keamanan serta kemakmuran serantau,” katanya dalam kenyataan sempena penutupan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 hari ini.
Anwar berkata, Malaysia turut menegaskan kepentingan memperkukuh keterhubungan serantau menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid selain memperdalam perdagangan intra-ASEAN.
Katanya, kerjasama dalam ekonomi digital juga perlu dipercepatkan selain memperluas jaringan strategik dengan negara rakan yang diyakini.
“ASEAN juga harus terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian damai terhadap setiap pertikaian yang berbangkit,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam dunia yang sedang menyaksikan pelbagai penyimpangan terhadap nilai kemanusiaan dan kestabilan sejagat, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.
“Rantau ini mesti tampil sebagai wahana yang memperkukuh keyakinan, menjana pertumbuhan yang lebih adil serta memastikan masa depan yang lebih aman dan mampan buat seluruh rakyat ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














