PETALING JAYA – SME Corp. Malaysia telah memperuntukkan dana sebanyak RM12 juta untuk memperkasa pembangunan usahawan dan perniagaan tempatan sekali gus bakal memanfaatkan 500 usahawan belia Bumiputera ini disalurkan menerusi Program Tunas Usahawan Belia
Bumiputera Skala (TUBE-S).
Program tersebut telah diadakan secara serentak di tiga Zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula 4 hingga 10 Mei 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, Program TUBE-S yang diperkenalkan pada tahun ini adalah kesinambungan daripada Program TUBE terdahulu yang merupakan program latihan keusahawanan menyasarkan golongan belia Bumiputera berumur di antara 18 hingga 30 tahun.
“Program TUBE yang bermula sejak tahun 2014 telah menjadi inisiatif Kerajaan yang berimpak tinggi untuk melatih usahawan belia bumiputera. Sehingga tahun 2025, seramai 9,043 belia telah
mendapat manfaat, melahirkan sebanyak 8,805 perniagaan baharu serta penciptaan
lebih 20,000 peluang pekerjaan.
“Malah, usahawan belia di bawah Program ini telah berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM252 juta setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Program TUBE-S Zon Semenanjung telah disertai oleh seramai 342 belia bumiputera
dan 50 usahawan asnaf di bawah Program Tunas Usahawan (PROTAS) Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada masa yang sama, Program TUBE-S di negeri Sabah dan Sarawak pula masing-masing telah berjaya melatih seramai 102 dan 43 belia bumiputera. -KOSMO! ONLINE














