fbpx
Sultan Ibrahim bersama Tunku Mahkota Ismail mencemar duli bergambar bersama kepimpinan UMNO di Istana Besar Johor hari ini.

Ahmad Zahid imbau sejarah penubuhan UMNO di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau semula detik bersejarah penubuhan UMNO di Tangga Istana Besar Johor sempena ulang tahun ke-80 parti itu hari ini.

Beliau berkata, lokasi berkenaan menjadi saksi penyatuan pemimpin Melayu pada 11 Mei 1946 dalam mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, daripada semangat perjuangan tersebut lahirlah UMNO yang kemudian menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara dan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat.

“Hari ini saya bersama saf kepimpinan UMNO berpeluang kembali berdiri di tempat yang sama selepas 80 tahun UMNO melalui pelbagai mehnah dan liku perjuangan.

“Kehadiran kami bukan sekadar untuk bernostalgia atau merakam gambar kenangan, tetapi untuk mengenang jasa generasi terdahulu serta memperbaharui tekad meneruskan amanah perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid turut merafakkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan mencemar duli ke sesi fotografi bersejarah tersebut.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor atas sokongan dalam menjayakan acara berkenaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sejarah sentiasa mengingatkan bahawa kekuatan sesuatu bangsa lahir daripada kesatuan rakyat, kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu serta keikhlasan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

“Semoga UMNO terus kekal sebagai wadah perjuangan yang menyatukan rakyat, mempertahankan maruah bangsa, menjunjung agama dan memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Beliau menegaskan UMNO akan terus menjadi “Rumah Bangsa” dahulu, kini dan selamanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN