PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan berhenti bersuara dan berusaha selagi masih bernyawa demi memastikan bangsa, agama serta tanah air ‘tidak berpindah milik’ ke tangan pihak lain.
Mahathir berkata, walaupun ada pihak yang meminta beliau bersara, berdiam diri atau hanya menumpukan kepada ibadah, perkara itu sukar dilakukan kerana tanggungjawab yang dirasakan terhadap masa depan negara.
“Umur saya sudah melangkau satu abad. Mungkin ada yang merasakan pandangan saya sudah tidak relevan. Terserahlah kepada penilaian masing-masing,” katanya.
“Namun, selagi nyawa dikandung badan, saya tidak akan berhenti berusaha dan berjuang untuk memastikan bangsa saya, agama saya dan tanah air saya tidak berpindah milik ke tangan orang lain.
“Katalah apa saja. Suruh saya bersara, duduk di masjid, beribadat dan lupakan semua ini,” ujarnya dalam satu video dimuat naik di Facebook hari ini.
Tun Mahathir turut menolak anggapan beliau patut ‘berdiam diri’ kerana merasakan sejarah perjuangan generasinya dahulu menuntut beliau terus bersuara.
“Mana mungkin saya berdiam diri. Jika dulu generasi saya dan yang sebelum saya berjuang menentang Malaya Union, pengganas komunis dan neokolonisme, apakah saya akan berputus asa dan membiarkan tanah air saya dirampas dan bangsa saya dipinggir dan dijajah semula,” katanya.- KOSMO! ONLINE














