DUNGUN – Cubaan seorang lelaki berkopiah dan memakai pelitup muka melarikan seutas rantai emas bernilai RM30,000 berjaya digagalkan seorang pelanggan lain yang kebetulan berada di dalam kedai emas tersebut di Paka, di sini, pada kelmarin.
Suspek berusia 33 tahun yang cuba melarikan diri keluar dari kedai emas berkenaan berjaya ditangkap pelanggan lelaki berkenaan setelah pintu automatik pada pukul 12.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, pada mulanya, suspek yang memakai kopiah dan pelitup muka memasuki kedai emas tersebut dan berpura-pura untuk membeli barangan kemas.
“Suspek yang berminat dengan seutas rantai emas meminta untuk membeleknya sebelum tiba-tiba bertindak mahu melarikannya.
“Pekerja kedai emas itu bertindak pantas menekan suis menutup pintu automatik premis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, suspek yang terperangkap akhirnya berjaya ditangkap dengan bantuan seorang pelanggan lelaki kebetulan berada di dalam premis berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan kereta bernombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas nama bapa saudaranya. – KOSMO! ONLINE














