fbpx
Antara kesan ludahan sisa sirih di kaki lima yang ditemui semasa pemantauan.

Awas! Orang meludah sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Ops Tindakan Khas Larangan Meludah di beberapa kawasan tumpuan sekitar bandar raya.

DBKL dalam satu hantaran berkata, antara kawasan yang terlibat ialah di Jalan Kancil, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Lebuh Pudu dan Jalan Petaling.

Katanya, operasi itu bertujuan memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai.

“Hasil pemantauan mendapati terdapat kesan ludahan sisa sirih di kaki lima, penutup longkang, tong sampah serta dinding premis yang mencemarkan persekitaran dan menjejaskan imej bandar raya.

“Sepanjang operasi dijalankan, tindakan nasihat telah diberikan kepada individu yang dikesan meludah di tempat awam serta pemilik premis agar tidak menjual atau membekalkan bahan berkaitan yang boleh mendorong perlakuan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pendekatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“DBKL menegaskan bahawa perbuatan meludah di tempat awam merupakan satu kesalahan dan tindakan tegas termasuk penguatkuasaan serta kompaun boleh dikenakan sekiranya kesalahan berulang dikesan.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, selesa dan berdaya huni untuk semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN