KUALA NERUS – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk menghadiahkan kemenangan terakhir buat pemain tengah import, Nurillo Tukhtasinov yang akan meninggalkan kelab, akhir bulan ini tidak kesampaian setelah tewas 1-3 kepada Sabah FC di laman sendiri dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Tuan rumah yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain sayap, Akhyar Rashid pada minit ke-34 gagal mengekalkan momentum cemerlang sehingga wisel penamat ditiupkan.
Sebaliknya, Sabah berjaya membolosi gawang skuad Sang Penyu sebanyak tiga gol termasuk dua pada babak kedua.
Kebangkitan skuad Badak bermula selepas Fergus Tierney berjaya menyudahkan hantaran lintang Miguel Cifuentes bagi memperolehi gol penyamaan 1-1 pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Tandukan penjaring terbanyak Piala FA, Ajdin Mujagic seterusnya meletakkan pasukan pelawat 2-1 di hadapan pada minit ke-74.
Perjuangan TFC untuk mencari sekurang-kurang satu mata terus musnah apabila Mujagic sekali lagi muncul wira meledak gol ketiga Sabah pada masa kecederaan.
Beliau mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi selepas hantaran Cifuentes terkena tangan pertahanan import TFC, Diego Landis pada minit ke-89. – KOSMO! ONLINE














