BANGKOK – Tentera Thailand menembak dua bangunan milik sindiket ‘scammer’ atau penipuan di bandar Poipet, Kemboja, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.
Serangan di wilayah yang terletak bertentangan dengan bandar Sa Kaeo di Thailand itu berlaku semalam.
Sasaran diserang selepas bangunan tersebut dilaporkan diduduki sebilangan penembak tepat Kemboja yang melepaskan tembakan ke arah anggota tentera Thailand.
Bandar Poipet terletak di sempadan dan kerap kali menjadi sasaran serangan tentera Thailand.
Tentera Thailand melaporkan, dua struktur baharu itu dibedil pada pukul 1.48 tengah hari (waktu tempatan). Sistem anti dron turut dipasang di lokasi berkenaan.
Tentera Thailand memaklumkan kedua-dua bangunan mengalami kerosakan, manakala anggota tentera Kemboja tidak membalas tembakan ketika sebilangan ‘scammer’ bergegas melarikan diri .
Saksi melaporkan bahawa sebilangan rakyat Thailand dan Kemboja sering dilihat menggunakan komputer di dalam bangunan-bangunan tersebut. – AGENSI














