JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Bireuen, wilayah Aceh terpaksa menjemur beratus-ratus keping wang kertas daripada tabung masjid yang ditenggelami banjir lumpur dan tanah runtuh baru-baru ini, lapor portal berita Serambinews.
Kejadian berlaku di Desa Cot Ara, daerah Kuta Blang.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan sejumlah wang kertas bernominasi antara 1,000 rupiah (RM) sehingga 10,000 rupiah (RM) dicuci lalu dijemur oleh warga setempat.
Seorang lelaki dikenali sebagai Muntasir berkata, kesemua wang itu milik Masjid Al Mujahidin yang ditemukan oleh penduduk tempatan.
“Sebelum bencana berlaku, kebanyakan tabung masjid disimpan di dalam gerai. Tabung-tabung itu dibawa banjir, ia ditemukan oleh penduduk sebelum diserahkan kepada kami.
“Tabung tersebut dipenuhi lumpur. Wang-wang itu dicuci dengan sabun lalu dijemur di atas tali sehingga kering,” kata Muntasir. – AGENSI














