fbpx
Sirajuddin (tengah) merasmikan Kampung Angkat Madani Jakim di Kampung Menora, Kuala Kangsar hari ini.

Dekorasi Krismas: Jakim perjelas kekeliruan pada klausa punca salah faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui kekeliruan terhadap klausa dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 menjadi punca berlakunya salah faham berkaitan pemaparan hiasan perayaan termasuk Krismas di premis atau dapur hotel yang memiliki pensijilan halal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, berdasarkan manual tersebut, tiada halangan untuk pemegang sijil halal mempamerkan dekorasi perayaan selagi tidak melibatkan sebarang unsur penyembahan atau ritual keagamaan.

Malah katanya, pemaparan hiasan itu juga sama sekali tidak akan menjejaskan status halal yang diperoleh premis berkenaan.
“Berdasarkan manual tersebut, terdapat klausa yang mengelirukan, namun pemegang sijil halal tidak melakukan kesalahan untuk meletakkan hiasan perayaan agama lain seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

“Apa yang dimaksudkan ialah jika hiasan itu keterlaluan sehingga mengaitkan dengan penyembahan yang bercorak keagamaan. Kalau setakat gambar pokok krismas, rusa terbang dan santa claus, sebenarnya tiada masalah.

“Malah, hiasan itu sendiri tidak menjejaskan ramuan produk yang mendapat pensijilan halal. Hiasan tersebut hanyalah untuk menarik perhatian sempena hari-hari istimewa masyarakat di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Menora, di sini hari ini

Menurut beliau, penjelasan mengenai perkara itu akan diberikan kepada pihak yang melaksanakan pensijilan halal di peringkat negeri bagi memperjelaskan kekeliruan yang timbul susulan salah faham berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN