REMBAU – Tular di media sosial penduduk setempat kelibat seekor buaya tembaga sepanjang tiga meter cuba naik ke jambatan dari Sungai Pengkalan Pauh di Kampung Titian Bintangor, di sini, sejak pagi tadi.
Pemilik video asal yang hanya ingin dikenali sebagai Osama, 24, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10.50 malam semalam, dia bersama rakannya ingin pulang ke rumah bagi menghantar barangan.
“Dari jauh saya nampak ada benda putih, rupanya buaya. Saya sebenarnya dah banyak kali jumpa buaya tapi sebelum ni tiada pula buaya yang naik ke jambatan atau jalan. Biasa dalam sungai sahaja. Buaya yang saya rakam ni panjangnya dalam tiga meter.
“Biasa kalau saiz macam tu, orang kata buaya bujang lagi. Ikutkan sekarang ni, dah terlalu banyak buaya dalam sungai ni sehinggakan tiada lagi aktiviti mengoca dapat dilakukan penduduk di sini kerana bimbang kehadiran buaya.
“Harap-harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dapat pantau sungai di sini kerana dah banyak sangat buaya di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali Amin, 37, lokasi kejadian tidak berhampiran dengan rumah, namun dia agak bimbang risiko buaya naik ke darat terutamanya sewaktu musim hujan atau banjir.
“Bagaimanapun, setakat hari ini, belum ada lagi ancaman buaya di sini. Namun, kita selaku penduduk harap agar ada pantauan serta pengawasan dari pihak berwajib,” katanya. – KOSMO! ONLINE














