KAJANG – Sebanyak 22 buah kenderaan perdagangan dikesan membawa muatan berlebihan disita dan 39,555 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak 14 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan tegas itu diambil hasil penguatkuasaan berterusan sehingga 17 Disember 2025, melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan jalan raya.
Beliau berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 5,160 notis, diikuti kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 4,440 notis, tiada perlindungan insurans (3,492 notis) serta tiada Lesen Vokasional (2,299 notis).
“Bagi kesalahan membawa muatan berlebihan pula, sebanyak 1,080 notis telah dikeluarkan sepanjang tempoh operasi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Khas JPJ Selangor di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini malam tadi.
Azrin berkata, selaras usaha memperkukuh ketelusan dan integriti penguatkuasaan, JPJ Selangor mula melaksanakan pemakaian alat perakam badan (Body Worn Camera – BWC) oleh anggota penguatkuasa bermula 15 Disember 2025.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau e-mel ke [email protected]. – KOSMO! ONLINE














