NILAI – Pemilik kenderaan yang memasang lampu dikenali sebagai lampu ‘albino’ diingatkan bahawa penggunaan aksesori itu tidak mempunyai kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil jika didapati menjejaskan pengguna jalan raya lain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemasangan lampu berkenaan, termasuk yang semakin banyak digunakan pada lori dan kenderaan lain di lebuh raya, dibuat tanpa sebarang kelulusan teknikal daripada JPJ.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius trend pemasangan lampu itu dan sedang meneliti kesannya sebelum membuat keputusan lanjut berhubung penggunaannya.
“Setakat ini memang tiada kelulusan teknikal diberikan untuk pemasangan lampu berkenaan. Ia dibuat secara sukarela oleh pemilik kenderaan.
“Jika didapati mengganggu atau memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Perasmian Pembukaan Pejabat JPJ Cawangan Nilai di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














