KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memperluaskan tindakan penguatkuasaan terhadap kedai aksesori dan alat ganti kenderaan yang menjual komponen bagi pengubahsuaian haram motosikal.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, cadangan tersebut sedang diteliti secara menyeluruh sebelum dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan bagi tindakan selanjutnya.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan penguatkuasaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penunggang, sebaliknya melibatkan pihak yang membekalkan komponen yang menyalahi undang-undang.
“Sebab sudah sampai masanya untuk kita melihat keperluan tindakan diambil pada bengkel-bengkel.
“Jadi untuk peringkat hari ini saya nyatakan kami akan melakukan kajian yang mendalam dalam pelbagai aspek untuk tindakan ke atas bengkel. Tunggu pengumuman yang akan diumumkan nanti,” katanya pada sidang akhbar Op Extreme, di sini hari ini.
Mengulas mengenai penjualan aksesori dan alat ganti motosikal yang digunakan untuk meningkatkan prestasi dan kelajuan kenderaan, Muhammad Kifli berkata, pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa. – KOSMO! ONLINE














