GEORGE TOWN – Anak kandung kepada wanita yang maut bersama anak angkatnya dalam kejadian kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna, Butterworth di sini, Rabu lalu dilaporkan sudah sedarkan diri dan mula bercakap.
Namun, menurut bapa mangsa, Daniel Quyum, 20-an iaitu Kamarozlan Muhammad, 57, anak keduanya itu masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya dan berada di bawah pemantauan pakar.
Katanya lagi, Daniel masih lagi berada dalam keadaan trauma akibat kejadian yang meragut nyawa ibu dan adik angkat berusia lima tahun dan belum mampu berkomunikasi seperti biasa.
“Semalam dia dah boleh buka mata, tapi nampak masih trauma. Hari ini, keadaannya makin stabil dan sudah boleh bercakap, cuma suaranya perlahan.
“Dia ada tanya anak sulung (kakak mangsa) tentang ibunya. Kami minta dia bertenang dan rehat dulu, tak mahu bagi dia stres. Setiap kali melawatnya di hospital, kami cuba bagi kata-kata semangat supaya dia kembali kuat dan cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, tadi.
Katanya, setakat ini Daniel juga tidak mengadu mengalami kesakitan yang teruk selain masih dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan pada bahagian kepala.
Mengulas mengenai jenazah bekas isterinya, Hayani Yaakob, 50-an yang terkorban dalam kebakaran tersebut, Kamarozlan berkata, proses tuntutan masih belum dapat dilakukan kerana menunggu pengesahan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). – KOSMO! ONLINE














