PUTRAJAYA – Malaysia mencatat kemenangan besar menerusi kes tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah selepas Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ dalam tuntutan itu semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, tetapi kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sabah.
“Bagi pihak Sekretariat Khas War Room Sulu, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan-rakan Kabinet, pasukan perundangan AGC, Wisma Putra serta semua agensi kerajaan yang berganding bahu menjalankan amanah demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kejayaan itu membuktikan iltizam #KerajaanMADANI mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sementara itu, menerusi kenyataan Sekreteriat Khas War Room Sulu berkata, Mahkamah Rayuan Paris telah mengeluarkan keputusan yang membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ palsu dikeluarkan Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022.
“Ia turut memerintahkan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu untuk membayar kos sebanyak EUR 200,000 kepada Malaysia.
“Kerajaan Malaysia telah menerima keputusan Mahkamah tersebut pada malam tadi,” katanya.
Dalam penghakiman itu, mahkamah mengesahkan bahawa Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Final Award’ tersebut kerana tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.
“Oleh itu, mahkamah membatalkan keseluruhan ‘Final Award’ tersebut.
“Malaysia percaya bahawa kemenangan ini akan mengakhiri semua cubaan tidak berasas oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia.
“Malaysia tetap bersedia untuk meneruskan perjuangan di mana-mana mahkamah sekiranya pihak tersebut membawa tuntutan mereka,” katanya.
Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris telah terlebih dahulu menolak pengiktirafan dan pelaksanaan ‘Partial Award’ yang dikeluarkan oleh Stampa pada 25 Mei 2020.
Manakala, pada 6 November 2024, Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran yang dibawa oleh pihak penuntut Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris tersebut.
“Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen teguhnya untuk mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan nasional Malaysia daripada tuntutan tidak berasas dalam penipuan Sulu ini,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














