PETALING JAYA – Pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi ini berdepan gangguan selepas sebuah kenderaan penyelenggaraan Rapid Rail tergelincir dari landasan ketika kerja-kerja membaik pulih dijalankan di Stesen Universiti.
Insiden yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan kerosakan pada sistem semboyan, sekali gus menjejaskan jadual tren antara Stesen Taman Bahagia ke KL Sentral.
Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, tren alternatif dan bas perantara diaktifkan bagi menghubungkan stesen yang terkesan dengan kekerapan empat hingga 20 minit, bergantung kepada kawasan.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @_asyikin_11, gangguan tersebut berlaku seawal pukul 7.30 pagi tadi.
“Lagi sekali, masih pukul 7.30am (pagi), ada gangguan teknikal. Manusia sesak dekat semua stesen,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Pasukan kejuruteraan Rapid Rail berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan dijangka siap dalam masa 45 minit.
Rapid Rail menasihati pengguna supaya merujuk media sosial Rapid KL untuk maklumat terkini jadual perkhidmatan.
Bagaimanapun setakat ini, beberapa pengguna melaporkan perkhidmatan tren kembali stabil, namun masih berlaku kelewatan di beberapa stesen. – KOSMO! ONLINE














