Saudara Pengarang,
Saya merupakan pengguna perkhidmatan awam dan apa yang sangat dikesalkan adalah sikap pentingkan diri pengguna lain yang sering bersandar pada pemegang besi dalam Transit Aliran Ringan (LRT).
Pemegang besi dalam LRT itu merupakan kemudahan yang dibuat untuk semua pengguna berpegang ketika tren bergerak.
Tindakan tidak sensitif itu kerap berlaku terutama pada waktu pagi atau petang.
Ada pengguna yang bersandar pada pemegang dengan beg sandar sehingga menyakitkan tangan pengguna lain.
Bukan tidak mahu menegur, tetapi risau akan dimalukan oleh pelaku dalam ‘lautan orang ramai’ dalam tren berkenaan.
Jadi dalam keadaan ini, pengguna LRT perlu ada deria sensitif dalam keadaan kesesakan penumpang pada waktu puncak. Pemegang itu adalah besi untuk berpaut.
Lagipun, dalam keadaan LRT ketika ini yang sering ‘brek mengejut’, memang penting untuk sentiasa berpaut atau memegang besi dalam tren.
Tolonglah jangan pentingkan diri sendiri dengan bersandar pada besi paut itu hanya kerana tidak mahu lekang dengan telefon bimbit anda.
TANGAN SAKIT KENA KEPIT BEG
Petaling Jaya














